Friday, 29 July 2011
LAPORAN: Loudness Live KL @ KL Live (24/07/2011)
Akhirnya tarikh yang dinanti-nantikan oleh Rockers-rockers seMalaya tiba, 24/07/2011 berlangsung pada hari Ahad, pendaratan Tora! Tora! Tora! Dari bumi matahari terbit kunjung tiba di pentas KL Live. Kami berasa bertuah kerana dapat menyaksikan persembahan julung pertama kalinya diadakan oleh kumpulan lagenda LOUDNESS di Kuala Lumpur ini!
Setibanya kami di tapak konsert pada jam 4.00 petang, pada pengamatan kami KL Live sedang di dalam proses ubahsuaian jadi kami meletakkan kereta di banggunan berhampiran dan berjalan kaki ke tapak konsert, akibat ubahsuaian ini tangga pintas untuk ke perkarangan hadapan KL Live telah ditutup membuatkan kami terpaksa melalui kawasan letak kereta di bahagian tepi untuk ke hadapan.
Tanpa melengahkan masa kami terus ke kaunter untuk mengambil tiket dan pass kami, persembahan pentas bermula pada sekitar jam 4.30pm dengan persembahan pertama oleh sebuah kumpulan generasi baru yang dianggotai oleh ahli semua wanita dari Kuala Lumpur, kumpulan ini memperjuangkan konsep heavy metal cara 80an dan menggelarkan diri mereka Shewolves. Saya pasti mereka yang mengikuti scene ‘rock kapak’ generasi baru kenal akan mereka ini. Persembahan mereka boleh dikatakan mantap walaupun sound pada vokal dan gitar kedengaran sedikit sayup-sayup. Gitaris dan Vokalis Shewolves paling menyerlah sekali di atas pentas, ini kerana ke-dua dua mereka mengenakan pakaian ‘leather’ yang cukup menggambarkan era 80an, dari segi persembahan pentas, saya boleh katakan ‘okay’, Shewolves membawa sebuah lagu ciptaan sendiri yang muncul sebelum ini menerusi demo pertama mereka yang diberi judol ‘Moonchild’, dan tiga buah lagu cover, saya difahami bahawa kumpulan-kumpulan pembuka tirai konsert ini diberi kesempatan untuk memainkan empat buah lagu. Lagu cover terakhir Shewolves sangat menarik minat saya kerana ianya merupakan lagu cover dari kumpulan lagenda dari Jepun iaitu Show Ya, kumpulan tersebut juga merupakan kumpulan berahli semua wanita. Vokalis Shewolves sempat mengumumkan lagu terakhirnya dengan kata-kata ‘sebelum kita layan Loudness, kami akan persembahkan sebuah lagu cover dari kumpulan lagenda dari Jepun juga..’
Tamatnya persembahan Shewolves, kumpulan pembuka tirai selanjutnya adalah Satira, bagi mereka yang tidak mengenali Satira, kumpulan ini berasal dari Pahang dan pernah mengeluarkan sebuah album pada tahun 1990, mereka tidak berpeluang untuk cukup mengembangkan namanya suatu ketika dulu dan senasib dengan kebanyakkan kumpulan-kumpulan rock Melayu lain yang mengeluarkan album sekitar 1990-1993 akibat persaingan yang terlalu sengit antara satu sama lain. Tetapi itu tidak bermakna Satira tidak hebat, lagu-lagu heavy mereka boleh dikatakan ‘pure heavy metal’ juga seperti lagu 'Surat Dari Hiroshima', 'Ozon 2050', '31 Ogos 1957' dan sebuah lagu slow rock mereka yang pernah menggamatkan corong radio awal 90an dahulu berjudul 'Kau Masih Ku Cinta'. Saya tidak mengharapkan apa-apa dari persembahan Satira ini kerana saya telah mendapat tahu dari rakan-rakan yang ada hadir pada konsert reunion mereka awal tahun ini mengatakan Satira tidak lagi memainkan heavy metal seperti dahulu. Okay itu tidak mengapa. Persembahan dimulakan dengan sebuah lagu baru yang bunyinya lebih berpaksikan modern nu-metal, setting bunyi gitar juga telah diubah menjadi berat seakan-akan setting musik death metal dan kedengaran pemain dram Satira juga turut memasukkan double paddle pada dram line lagu mereka. Okay! Memang benar! Satira bukan lagi Satira yang dahulu. Walaubagaimanapun itu hak mereka, mungkin mereka rasa perlu ber’evolusi, cuma sayangnya tindakan Satira sebegini pastinya akan mengundang ketidakpuasan hati peminat-peminat mereka sendiri. Perlu diketahui juga musik moden nu-metal juga bukanlah musik ‘hip’ masa kini, jika kita berkata tahun 2001-2004 itu benar, tetapi sekarang moden nu-metal juga sudah tidak lagi punya tempat dalam industri mainstream. Kesemua lagu-lagu Satira kekal dengan konsep sebegini termasuklah dua buah lagu original daripada album pertama mereka iaitu 'Surat Dari Hiroshima' dan 'Kau Masih Ku Cinta' didendangkan menerusi persembahan mereka berpaksikan konsep moden nu-metal, ke-dua dua buah lagu tersebut telah dimasukkan elemen tersebut membuatkan ramai peminat berdiri terkaku sahaja. Kecewa pastinya. Walaubagaimanapun saya sangat terpegun dengan cara persembahan vokalis Satira iaitu brader Doran kerana masih bertenaga membuat persembahan, gaya mimik muka dan gerak tari badannya harus dipuji, penuh bersemangat!
Kumpulan pembuka tirai ke-tiga juga merupakan kumpulan lagenda rock Melayu dari tahun 80an, mereka adalah Sofea! Ya, siapa yang tak kenal mereka ini pastinya tak layak menggelarkan diri mereka sebagai seorang rockers Malaya asli. Sofea, sebuah kumpulan yang paling banyak mencetuskan kontroversi pada tahun 80an dahulu, memulakan persembahan dengan lagu antara paling popular mereka sewaktu menggunakan nama SYJ iaitu 'Hati Syaitan', kelihatan krowd semua sangat terhibur dengan persembahan mereka dan menyanyikan bersama-sama lagu tersebut dengan penuh bersemangat. Sayangnya awalan persembahan Sofea setting sound tiba-tiba menjadi sangat teruk, menjadikan bunyi bass terlalu kuat sehingga menenggelamkan semua instrumen termasuklah dram. Saya merasa kurang senang dengan kualiti sound pada masa itu dan banyak menghabiskan masa di ruangan merokok sambil melihat persembahan dari situ. Kelihatan Sofea pada hari ini berpakaian seperti Sofea di tahun 80an dahulu, mengenakan lace dan leather ala-ala Motley Crue, merah dan hitam tetap pujaan hati Sofea nampaknya. Pemilihan lagu Sofea juga boleh dikatakan bagus, selesai 'Hati Syaitan' mereka menyambungkan persembahan dengan 'Anak Liar' yang juga merupakan anthem wajib Sofea, 'Anak Liar' sebenarnya adalah lagu cover dari W.A.S.P – Wild Child yang telah diterjemahkan lirik dan tajuknya ke bahasa Melayu, kemudian sebuah lagu slow rock untuk menenangkan keadaan 'Bunga Padang Pasir' dan akhirnya sebuah lagi lagu anthem wajib mereka berjudul ‘Orang Timur’ pada masa ini brader Amir hilang sebentar dan muncul kembali sambil mengibarkan bendera Malaysia, wah! Memang terasa macam tengok Sofea (SYJ 86) di Battle of the Bands ’86 dahulu!
Setelah tamatnya persembahan Sofea, emcee mengumumkan waktu rehat dan sembahyang Maghrib, persembahan diteruskan semula pada jam 8 malam, mujurlah saya sempat bergomol sehingga ke hadapan pentas sebelum krowd semua memenuhi ruang. Sampai-sampai saja saya tiba-tiba pentas menjadi gelap dan kedengaran bunyi intro ambient menandakan Loudness bakal menaiki pentas! Suasana menjadi gamat dengan suara hiruk pikuk krowd yang tak sabar-sabar untuk menyaksikan Loudness di hadapan mata mereka! Tidak lama kemudian lampu dibuka dan Akira Takasaki bersama Munetaka Higuchi dan dramer baru mereka yang saya ingat dengan panggilan Suzuki terus membelasah instrumen mereka. Kedengaran mereka seperti membawa sebuah lagu yang bunyinya seperti moden metal dicampur dengan mood progresif, dram juga dipenuhi dengan double paddle, hati saya menjadi lain kerana khuatir Loudness akan melebihkan lagu-lagu baru tentunya nanti saya akan terlopong sahaja! Ha! Maaf, saya memang tidak pernah mendengar lagu-lagu baru mereka! Setelah beberapa minit ke-tiga tiga mereka membelasah instrumen, Minoru Nihara selaku vokalis Loudness pun muncul dengan berpakaian leather penuh dan terus memulakan persembahan. Saya terlopong sahaja pada masa ini dan hanya menyaksikan persembahan dengan penuh khusyuk. Tamatnya lagu pertama tersebut baharulah mereka menegur krowd di bawah dan meminta izin untuk mengambil gambar angle kami semua. Persembahan diteruskan dengan lagu ‘Crazy Nights’, tentunya anthem wajib bagi peminat-peminat Loudness dan keadaan menjadi gamat dengan suara hiruk pikuk peminat, saya sendiri juga turut sama menyanyikan lagu tersebut. Tidak cukup dengan itu, mereka terus menyambung persembahan dengan sebuah lagi lagu wajib iaitu ‘Heavy Chains’! Tentunya lagu Loudness paling terkenal, dibantingkan lagi dengan lagu ballad ‘So Lonely’, fuh! Walaupun lagu ni lagu slow, tapi para peminat pastinya ingin menyanyi bersama bukan? Nampaknya Minoru Nihara nak kami hilang suara agaknya, hahaha!
Sejurus selesai lagu ‘So Lonely’, kesemua ahli Loudness beredar dan hanya meninggalkan Akira Takasaki sahaja, nak pergi ambik power lah tu. Akira Takasaki menghiburkan kami semua dengan persembahan solo gitarnya yang penuh berskil sekali. Tidak lama kemudian mereka semua kembali dan Minoru Nihara mengumumkan yang mereka punya penyanyi jemputan yang sememangnya semua sudah tahu siapa, Amy Search muncul dan menyapa kami semua. Loudness menyambungkan persembahan menerusi lagu mid tempo yang mantap dari album ‘Lightning Strikes’ berjudul ‘Shadows of War’ dan sebuah lagu speed ‘Black Star Oblivion’. Memang mantap gandingan Amy Search dan Minoru Nihara, ke-dua duanya juga bersuara lunak dan masih ‘maintain’ orang kata. Tidak lama kemudian Minoru Nihara hilang lagi dan muncul semula dengan t-shirt penuh nostalgik beliau, apa lagi, tentunya lambang matahari dai-nippon! Persembahan diteruskan dengan sebuah lagi lagu dari album paling hit mereka ‘Thunder in the East’ iaitu ‘Get Away’, lagu ini juga merupakan antara lagu paling pantas dalam setlist Loudness pada hari itu, saya tidak dapat menahan tekanan perasaan pada masa itu dan terus moshing. Hahaha!
Pada pengamatan saya Loudness masih seperti dahulu, iaitu penghibur pentas terbaik. Benarlah pada waktu tahun 80an dahulu mereka pernah membuka tirai untuk W.A.S.P, Motley Crue dan pada pemerhatian penonton, mereka berkata ‘Loudness pada masa itu band pembuka tirai tapi cara persembahan mereka sangat mantap membuatkan mereka lebih hebat beraksi dibandingkan band utama’. Ianya terbukti di hadapan mata saya sendiri, mereka memang cukup pandai menghiburkan krowd. Minoru Nihara juga sering mengajak krowd mengajuk nyanyiannya semula dan menyanyikan bersama-sama. Penuh berkarisma! Persembahan tersebut dianggap cukup bermakna buat Loudness sendiri juga kerana ianya merupakan persembahan ‘anniversary’ 30 tahun kewujudan bagi mereka, dengan itu mereka lebih banyak membantingkan lagu-lagu klasik mereka berbanding lagu baru, setlist penghujung Loudness lebih memukau, ‘Crazy Doctor’ menggamatkan keadaan kemudian diikuti lagu paling saya minati iaitu ‘Let It Go’. Kemudian Loudness meminta diri tetapi krowd masih lagi meminta mereka untuk menyambungkan persembahan. Selepas sepuluh minit mereka kembali dan menyambungkan persembahan dengan dua lagu terakhir dan penuh bertenaga iaitu ‘Like Hell’ dan sebuah lagu pantas iaitu ‘SDI’. Tamatnya persembahan mereka mula membaling pick gitar, dram stik dan poster kepada krowd di bawah, maka sesi berebut pun bermula! Hahaha!
Persembahan tamat awal daripada yang dijangka iaitu sekitar jam 10.30 malam, terima kasih kepada pengurusan masa yang bagus. Dengar khabarnya Loudness akan datang semula ke Kuala Lumpur? Entah tidak tahu pula bila, sama-sama kita nantikan berita tersebut!
Sumber gambar dari Facebook
Labels:
Laporan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment